"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya,dan Dia memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.Dan barang siapa bertawakal kepada Allah,niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya .Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya.
Sungguh,Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu" dlm Surah At Talaq ayat 2 dan 3

Showing posts with label Palestine diHatiku. Show all posts
Showing posts with label Palestine diHatiku. Show all posts

Tuesday, October 18, 2011

Apabila debu keterujaan mulai surut, realiti kehidupan menjenguk kembali

Telah dua minggu Presiden Mahmud Abbas mengemukakan permohonan kepada PBB agar keahlian Palestin diterima sebagai sebuah negara (member state). Tebing Barat mula kembali tenang setelah berpesta menyambut kepulangan hero baru dari New York. Rakyat Palestin mulai kembali kepada kehidupan harian. Maka teruslah berulang kembali apa yang sentiasa berlaku selama ini, with or without the state of Palestine.
“…most especially, I extend my hand to the Palestinian people, with whom we seek a just and lasting peace.” kata Benjamin Netanyahu di perhimpunan Agung PBB 23 Sept 2011 lalu. Sejak itu, berikut adalah sebagaian dari tanda-tanda ‘keikhlasan’ Israel tersebut sehingga hari ini:
Sabtu 24 Sept
Tentera Israel dan pendatang Yahudi menyerang perkampungan Qusra di selatan Bandar Nablus di Tebing Barat menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 37 tahun. 5 rakyat Palestin juga tercedera.
Isnin 26 Sept
Unit Pengawal Sempadan Israel menculik ahli Parlimen Palestin Muhammad Attoun di hadapan pejabat Palang Merah di Baitul Maqdis.
Selasa 27 Sept
Tentera Zionis meculik seorang rakyat Palestin Samir Ali Abu Maria, 30 thn, selepas merampas kenderaannya di pintu masuk Bandar Beit Omar, utara Hebron di Tebing Barat dan membawanya ke destinasi yang tidak diketahui.
Seorang kanak-kanak Palestin Farid Talib Jaber, 8 tahun dari Bandar al Khalil (Hebron) di Tebing Barat mati akibat tercedera selepas dilanggar dan digelek (run over) oleh kereta seorang pelampau Yahudi pada Jumaat 23 Sept.
Israel meluluskan pembinaan 1100 buah perumahan haram di Yahudi diatas tanah Palestin di Gilo, selatan Baitul Maqdis.
Sabtu 1 Okt
Pendatang Yahudi dari koloni Yitzhar membakar ladang zaitun Palestin di antara perkampungan Ainbous dan Hawara di selatan Nablus. Manakala di al Khalili, mereka memusnahkan 55 pohon zaitun di Dhaheria.
Jet-jet dan UAV Israel mengebom utara Gaza berhampiran Beit Hanoun. Tiga orang rakyat Paestin cedera termasuk seorang parah.
Ahad 2 Okt
Sebuah masjid di perkampungan Tuba-Zangariyye di Upper Galilee dibakar pada waktu malam oleh pendatang Yahudi menyebabkan kerosakkan teruk didalam masjid.
Isnin 3 Okt
Seorang kanak-kanak Palestin cedera ditembak tentera Israel di Juher al Deik, Semenanjung Gaza semasa sedang mengutip besi buruk bagi menyara hidup.
Selasa 4 Okt
Unit tentera khas Israel menyerang penjara Ashkelon dan Nafha di mana ribuan tahanan Palestin sedang mengadakan protes lapar selama 7 hari.
Kereta kebal dan kenderaan tentera Israel memasuki dan memusnahkan ladang pertanian Palestin di al Qarara, utara Khan Younis.
Dua orang pelajar wanita Palestin, Ahlam Hamad, 19 dan Saja Hamad, 18, dilanggar lari oleh kereta yang dipandu pendatang Yahudi di perkampungan Huarra di Nablus.
Rabu 5 Okt
Tentera penjajah Israel menculik lima orang rakyat Palestin dari perkampungan Kufor Qaddom di timur Bandar Qalqilia di Tebing Barat. Saksi mengatakan tentera Israel memasuki kampung dan memecah masuk ke beberapa rumah serta menculik Abbas Eshtiwi,18, Adham Eshtiwi, 22, Ahmad ‘Amer, 20, Fahed Eshtiwi, 22, and Yamen ‘Ibead,30.
Khamis 6 Okt
Ratusan pendatang haram Yahudi memecah masuk ke makam Nabi Yusuf a.s. di Nablus dibawah kawalan tentera Israel untuk melakukan upacara agama mereka.
Penjajah Israel terus mencengkam kehidupan; pembunuhan dan tangkapan tanpa sebab yang jelas, sekatan ekonomi dan kewangan, keganasan dan keangkuhan pendatang haram Yahudi… The same old stories.
Ar. Hj Syed Mohd Radhi
Aqsa Syarif Gombak

Sunday, May 15, 2011

Perutusan sempena Konvoi Pembebasan Palestin


Dengan nama ALLAH Maha Pemurah Maha Mengasihani.
Assalamualaikum Wrt Bth.
Tarikh 15 Mei adalah sejarah penting bagi seluruh warga dunia. Pada setiap tahun rakyat Palestin mengingati tarikh tersebut di mana mereka telah ditimpa satu tragedi yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan. Mereka diusir keluar dari tanah air mereka setelah ribuan rakyat Palestin dibunuh dengan kejam dan ratusan kampung dan pekan dimusnahkan oleh pengganas-pengganas Zionis. Adalah amat mendukacitakan apabila tragedi kemanusiaan yang dahsyat ini berlaku pada tahun yang sama di mana Deklarasi Hak Asasi Manusia disepakati dan menjadi sebahagian dari Piagam PBB. Sebaik sahaja deklarasi ini diluluskan, bangsa Palestin menjadi mangsa pelanggaran hak asasi yang pertama! Deklarasi hanya tinggal di atas kertas dan setelah 63 tahun pencabulan ke atas hak asasi rakyat Palestin masih berterusan.

Aqsa Syarif yang sentiasa merasakan penderitaan rakyat Palestin bahkan setiap saat sentiasa mencari jalan untuk membantu menghentikan penindasan, kezaliman dan pencabulan ke atas hak dan maruah rakyat Palestin tidak akan berdiam diri. Sebaliknya di atas rasa persaudaraan dan rasa kemanusiaan yang dikongsi dengan seluruh warga dunia akan sama menangisi tragedi Nakbah yang merupakan titik hitam dalam sejarah manusia sejagat.
Untuk membuktikan rasa kebersamaan dalam memikul luka berpanjangan yang ditanggung oleh rakyat Palestin maka Aqsa Syarif menganjurkan aktiviti ‘KONVOI MEMBEBASKAN PALESTIN’. Aktiviti ini membuktikan komitmen Aqsa Syarif bersama warga Malaysia untuk terus menerajui kempen pembebasan bumi Palestin seperti yang digariskan dalam agenda nasional perjuangan rakyat Palestin iaitu penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara dan hak rakyat Palestin yang berlindung di kem-kem pelarian di timur tengah bahkan yang berada di seluruh dunia untuk pulang ke tanah air mereka. Konvoi ini secara simboliknya melambangkan aspirasi rakyat Palestin yang tidak pernah berputus asa untuk kembali ke tanah air mereka.
Bagi para peserta yang menyertai konvoi ini, Aqsa Syarif mengucapkan jutaan penghargaan di atas kebersamaan dan solidariti utuh yang dipamerkan. Konvoi ini adalah merupakan satu syiar (lambang) bahawa warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama akan sentiasa mendukong perjuangan pembebasan bumi Palestin dari cengkaman regim Zionis Israel. Konvoi ini adalah bukti bahawa warga Malaysia berganding bahu dengan seluruh masyarakat antarabangsa yang berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin.
Sokongan yang dizahirkan di peringkat antarabangsa adalah bukti bahawa tidak ada kuasa yang boleh menghalang hasrat masyarakat antarabangsa untuk melihat hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka dikembalikan. Kuasa-kuasa besar dunia harus sedar dan insaf bahawa mereka tidak mungkin mempertahankan rejim haram Israel yang didirikan pada 15 Mei 1948 dengan cara-cara yang jijik dan keji untuk selamanya. Roda kehidupan akan berputar dan kezaliman yang ditimpakan ke atas rakyat Palestin akan berakhir. Israel hanya menunggu sata ajalnya tiba. Tanda-tanda bahawa Israel sedang berada di penghujung usianya semakin jelas apabila rejim-rejim Arab yang bersekongkol dengan Zionis ditumbangkan oleh rakyat mereka sendiri dalam tempoh yang amat sengkat.

Pada para peserta konvoi, Aqsa Syarif mendoakan agar anda semua mendapat keberkatan yang besar dari amal yang dilakukan. Setiap wang yang dibelanjakan akan menjadi rezeki yang dilipatgandakan. Bahan api yang menggerakkan kuasa kuda pelbagai kapasiti akan melonjakkan kualiti hidup di dunia dan akhirat. Setiap debu yang melekat pada tubuh badan, pakaian dan kenderaan akan menjadi saksi perjuangan pembebasan bumi Palestin.
Bersama Aqsa Syarif  ‘MEMPERKASA UMMAH, MEMBEBASKAN MASJID AL-AQSA’.
Dr Hafidzi Mohd Noor
Pemangku
Pengerusi Aqsa Syarif
bersempena 15 Mei 2011

Konvoi Pembebasan Palestin 2011


Satu konvoi pembebasan palestine anjuran AQSA Syarif yang akan diadakan pada 21 Mei 2011 di Dataran Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam..

Tentera Israel menyerbu dataran Aqsa dan mengancam pengawal

Jumaat, 13/05/2011 - Seorang polis Israel menyerbu dataran Masjid Aqsa sebelum tengah malam Ahad dan mengugut pengawal-pengawalnya jika mereka tidak membuka pintu ke Perpustakaan Khatneye.
Salah seorang pengawalnya memberitahu Pusat Maklumat Quds dalam satu perbualan telefon bahawa polis tersebut mendakwa mereka ingin menggeledah perpustakaan tetapi para pengawal melarang.
Beliau berkata, polis itu mengancam untuk menangkapnya jika tidak mematuhi arahan dan seterusnya menghubungi balai polis untuk menakut-nakutkannya. Polis – polis tersebut kemudiannya meminta untuk melihat pengenalan diri para pengawal. Para pengawal tetap menolak dengan mengatakan mereka sedang bertugas sebagai pekerja di Islamic Awkaf di bawah bidang kuasa Jordan dan tiada siapa berhak meminta pengenalan diri atau menggeledah perpustakaan itu.
sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : idawati

Saturday, May 7, 2011

Aqsa Syarif mengajak rakyat Malaysia memperingati tragedi Deir Yassin – 9 April 1948


Tarikh 9 April akan sentiasa terpahat di hati rakyat Palestin sebagai tragedi pilu yang masih dirasai sehingga kini. Meskipun tragedi dahsyat itu sudah berlalu 63 tahun yang lalu, ia tetap menghantui rakyat Palestin dan sesiapa sahaja yang punya rasa kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.
Pada dinihari sekitar 4.30 pagi Jumaat 9 April 1948, kumpulan pengganas Zionis Haganah membariskan 33 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan. Hanya seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri. Terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya, beliau melihat sendiri bagaimana adik perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepalanya ditembak oleh pengganas-pengganas tersebut.
Itulah dia tragedi Deir Yassin yang akan kekal ditulis dengan tinta darah. Peristiwa yang amat dahsyat ini dilakukan oleh sekelompok manusia yang mendakwa mereka diseksa dengan kejam oleh Nazi di kem-kem Auswitch, Bergen-Belsen dan Dachau. Ternyata kezaliman dan tindakan yang tidak akan dilakukan oleh haiwan sekalipun membuktikan bahawa pendukong Zionis hanya berselindung disebalik penderitaan mereka untuk melakukan perbuatan yang jauh lebih keji dari apa yang mereka alami.
Peristiwa Deir Yassin menyaksikan bagaimana tahap kemanusiaan sudah jatuh ke tahap yang amat keji sehingga tidak mungkin dibayangkan oleh sesiapa yang masih waras akal fikirannya. Cukuplah apa yang didedahkan oleh beberapa orang yang terselamat kerana terlindung di sebalik tumpukan mayat dan timbunan batu dan kayu yang menyaksikan bagaimana wanita-wanita hamil dirodok perut mereka dan dikeluarkan janinnya. Semua ke 25 orang ibu yang mengandung dipaksa melihat bagaimana bayi yang mereka kandung dikerat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kanak-kanak pula dipancung di hadapan ibu-ibu mereka. Seramai 52 orang kanak-kanak dibunuh secara kejam begini.
Ternyata perbuatan amat biadap ini sengaja dirancang untuk menimbulkan ketakutan yang mencengkam di sanubari rakyat Palestin supaya mereka segera meninggalkan tanah air mereka demi keselamatan diri dan keluarga. Siri-siri pembunuhan beramai-ramai ini telah berlaku di banyak tempat sebelum Deir Yassin, namun sebagai umat yang bermaruah, rakyat Palestin sama-sekali tidak akan menyerah kalah. Mereka tetap bertahan dan mempertahankan kampong halaman mereka meski terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Zionis yang disokong oleh Bangsa-bangsa Bersatu, British dan negera-negara Eropah. Bantuan kewangan dan senjata terus dinikmati oleh tiga kumpulan pengganas yahudi seperti Irgun, Haganah dan Stern Gang.
Menjelang November 1947 apabila pelan pemisahan (partition plan) dilaksanakan oleh PBB melalui resolusi 181, pengganas-pengganas Yahudi sudah memiliki 16,000 senjata api ringan, 1000 mesin gun dan 750 mortas. Dengan pelbagai senjata ini mereka menceroboh kampung halaman rakyat Palestin di Qilqiya, Nablus, Akka, Tulkarem, Beersheba, Baisan, Haifa dan Yaffa. Kemuncaknya ialah pembunuhan yang berlaku di Dier Yassin pada 9 April 1948.
Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan oleh Irgun yang dipimpin oleh tak lain dan tak bukan Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doktor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tidak ada yang hidup dengan membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan di dalam sejarah iaitu dengan meniris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.
Menachem Begin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Israel dan dijulang sebagai pejuang kemanan dunia yang dianugerahkan hadial nobel untuk keamanan. Anugerah berprestij ini dikongsi bersama Anwar sadat hasil dari perjanjian damai Camp David pada tahun 1978 di antara Mesir dan negara haram Israel. Satu perjanjian yang menyaksikan Anwar Sadat dihina di seluruh dunia dengan mengiktiraf Israel dan ditempelak oleh Menachem Begin dengan ucapan biadapnya, “Selamat datang ke Jerusalem, ibu negara abadi Israel.” Perjanjian inilah yang telah menggadaikan maruah umat Islam dan rakyat Mesir.
Mesir yang sebelum itu merupakan satu-satunya negara Arab yang mempunyai kekuatan yang standing dengan Israel bertukar menjadi kambing yang dikebirikan. Sejak tahun 1978 hingga tumbangnya Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011, Mesir diberikan kepercayaan penuh oleh Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan Israel sentiasa dipelihara.
Tragedi Deir Yassin adalah symbol berdirinya negara haram Israel di atas darah rakyat Palestin yang tumpah membasahi bumi. Menachem Begin di dalam bukunya ‘The Revolt’ dengan bangganya mengatakan, “Tanpa apa yang dilakukan di Deir Yassin maka tidak akan wujud negara Palestin. Dia menambah, “ketika Haganah menjalankan beberapa operasi yang berjaya di medan-medan lain, orang-orang Arab menyelamatkan diri mereka dengan disertai panik sambil menjerit ketakutan ‘Deir Yassin!”
Menachem Begin dan semua pemimpin Israel yang dijulang sebagai negarawan dan pejuang keamanan dunia seperti Arial Sharon dan Shemon Peres adalah remaja-remaja bersenjata yang membunuh rakyat palestin tanpa sedikit pun merasa bersalah. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Arial Sharon adalah bukti jelas bahawa ‘modus operandi’ mereka tidak akan berubah.
Inilah pendekatan yang masih digunakan oleh Israel di Gaza, Nablus, Ramallah, Jenin, Baitul maqdis dan al-Khalil bagi mengekalkan pendudukan, pengepungan dan penghinaan ke atas Masjid al-Aqsa. Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak punya harga dan mereka akan hapuskan seramai mana rakyat Palestin yang diperlukan bagi memastikan negara haram Israel terus kekal dan lestari.
Aqsa Syarif mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia sempena ulang tahun tragedi pembunuhan Deir Yassin supaya memperbaharui tekad dan keazaman untuk membela rakyat Palestin dan berjuang berganding bahu untuk memerdekakan rakyat dan bumi Palestin yang terjajah.
Luka Deir Yassin masih berdarah meski sudah berlalu 63 tahun. Satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka yang amat pedih yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini ialah dengan berjuang untuk mengembalikan maruah saudara kita di Palestin.
Ayuh, bersama Aqsa Syarif mempergiat usaha untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin!
Aqsa Syarif
9 April 2011

Tuesday, May 3, 2011

Gaza bersedih ucap selamat tinggal kepada Arigoni


Khamis, 21/04/2011 – Ratusan pegawai polis Palestin, para penduduk, badan-badan rasmi dan kerakyatan, pertubuhan-pertubuhan, dan puluhan persatuan belia, media dan hak asasi manusia serta peserta luar turun bersama mengeringi mendiang pejuang rakyat Palestin berbangsa Itali, Victorio Arigoni, pada hari Isnin (18 April), yang menyaksikan suasanan sedih dan marah, sepanjang mendiang diiringi dari Hospital As-Syifa’ dekat bandar Gaza menuju ke Rafah sebelum diserahkan kepada keluarga beliau.
Para pengiring mengibarkan bendera Palestin dan Itali dan mengangkat gambar Arigoni sambil melaungkan ketidakpuasan hati terhadap jenayah yang merampas hak beliau, beserta slogan “mati mati pengganas”, “dengan nyawa, dengan darah kami tebusmu wahai Victorio” dan “dari Gaza penghargaan untukmu Victorio”, dengan rasa tidak puas hati serta marah dengan pembunuhan rakyat Itali yang tidak bersenjata ini.
Mereka yang turun berkata bahawa isu ini diibaratkan seperti menanam peluru beracun di tubuh isu Palestin, dan mendiang sukarelawan Arigoni akan terus diingati di dalam hati setiap rakyat Palestin.
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/

Turki beri amaran kepada Zionis supaya jangan ganggu Freedom Flotilla 2


Jumaat, 29/04/2011 - Menteri Perhubungan Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengingatkan Zionis agar jangan sekali-kali menggangu Freedom Flotilla 2 yang akan bertolak ke Gaza akhir bulan depan, sambil memberi amaran kepada Zionis untuk tidak mengulang kembali peristiwa Marmara yang telah mencederakan dan membunuh beberapa warga Turki.
Menurut laporan akhbar Yediot Aharonot, kenyataan Menteri Luar Turki tersebut dikeluarkan pada hari Selasa (26 April) lalu kepada akhbar Sydney Morning Herald yang turut berbunyi, “kepungan di Gaza adalah di bawah tanggungjawab Israel, dan selepas perbincangan dengan PBB, ianya jelas menyalahi undang-undang antarabangsa”, sebelum beliau mengingatkan semula peristiwa serangan ke atas kapal Marmara di perairan antarabangsa, yang menyebabkan beberapa kematian.
Pengerusi IHH Turki, Bulent Yildirim, menyatakan bahawa kapal Marmara akan menyertai rombongan flotilla ini yang akan berlayar ke Gaza hujung bulan depan, dan ini menyebabkan pihak pertahanan Zionis meminta Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Nations untuk menghalang flotilla kali ini.
“Israel” juga merayu kepada Turki agar tidak melepaskan flotilla ini dari pelabuhannya, dan rayuan ini ditolak oleh Menteri Luar Turki dalam kenyataannya pada hari ini seperti, “Turki tidak akan menghalang flotilla ini keluar dari pelabuhannya, dan kami juga akan sentiasa memantau sebarang kemungkinan perkara berbahaya yang mungkin akan berlaku di sepanjang pelayaran ini.”
sumber : http://www.palestine-info.info/ar/