"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya,dan Dia memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.Dan barang siapa bertawakal kepada Allah,niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya .Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya.
Sungguh,Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu" dlm Surah At Talaq ayat 2 dan 3

Tuesday, July 13, 2010

Ghulam Ad Dakwah












Assalamualaikum wbt
Dikesempatan cuti dan utk ruangan post kali ini saya ingin berkongsi sebuah cter yang saya perolehi sewaktu jaulah ke Korea baru-baru ini...

Di antara perkara badihi (iaitu kewujudan dan penerimaan terhadapnya tidak memerlukan kepada sebarang dalil) dalam aqidah Islam ialah Allah SWT telah mengakhirkan semua syariat dengan turunnya syariat Islam. Dengan itu, menjadi perkara badihi juga bahawa syariat Islam ialah syariat yang akan kekal sehingga hari kiamat. Ia terpelihara disebabkan pemeliharaan yang dilakukan Allah. Pemeliharaan tersebut berlaku dengan pemeliharaan Al-Quran. Itulah kitab mukjizat yang tidak mempunyai sebarang kebatilan. Pemeliharaan juga berlaku dengan terpeliharanya sunnah Rasulullah yang merupakan penjelas dan penerang. Begitu juga dengan asas-asas yang menjadi tunggak kepada kebanyakan hukum syarak.
“Ketahuilah, sesungguhnya aku diberikan al-Kitab (al-Quran) dan seumpamanya” Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah
Pemeliharaan tidak hanya mencukupi dengan terpeliharanya perkara tersebut. Ia tidak mencukupi sehinggalah ia dihayati oleh rijal dan sehingga ia berperanan di dalam realiti kehidupan manusia. Sebab itu pemeliharaannya merangkumi pemeliharaan terhadap contoh-contoh yang menghidupkan nas-nas syariat. Selepas itu, manusia akan hidup berdasarkannya.
Sabda Rasulullah SAW: “akan sentiasa ada segolongan daripada umat ini yang melaksanakan arahan Allah. Orang yang tidak bersama mereka tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka sehinggalah Allah mendatangkan keputusan-Nya sedangkan mereka berada di dalam keadaan demikian.”
Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi dan Ibnu Majah
Selagi al-Kitab dan as-Sunnah terpelihara sehingga hari kiamat dan selagi contoh yang bercirikan alim, ‘amil dan daie terpelihara sehingga hari kiamat, maka tidak hairanlah jika nas-nas tersebut amat berhajat kepada golongan yang disebutkan oleh hadis di atas dalam setiap perkara yang memerlukan kepada beriltizam kepada agama dan berdakwah kepadanya.
Di antara nas-nas yang menarik dan mengandungi banyak unsur pengajaran ialah ‘Hadis Sihir, Ghulam dan Rahib’. Ia bolehlah dianggap sebagai kisah dakwah atau sebagai hikayat Iman yang telah berlaku sekian lama.
Haddab bin Khalid menceritakan kepada kami daripada Hammad bin Salamah daripada Sabit bin Abdur Rahman bin Abu Laila daripada Suhaib bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Di zaman sebelum kamu ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja; “Usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang ghulam (budak/ remaja) untuk aku ajarkan kepadanya ilmu sihir.” Maka diberikan kepadanya seorang ghulam untuk diajarkan ilmu sihir kepadanya. Di perjalanannya menuju kepada ahli sihir terdapat seorang rahib. Maka ghulam bertemu dengannya, mendengar pengajarannya dan tertarik dengannya. Setiap kali ghulam mendatangi ahli sihir, dia akan melalui rahib dan bertemu dengannya. Apabila dia mendatangi ahli sihir, dia akan dipukul. Lalu dia mengadu perkara tersebut kepada rahib. Rahib menjawab; “ Apabila kamu takut kepada ahli sihir, maka katakanlah; Keluargaku menyebabkan aku pulang lewat. Apabila kamu takut kepada keluargamu, maka jawablah; Ahli sihir menyebabkan aku pulang lewat.” Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia bertembung dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata; “Pada hari ini, aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal.” Maka dia
mengambil seketul batu lalu berdoa; “Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu-lalang.” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang.


Lalu dia menceritakan peristiwa tersebut kepada rahib. Maka rahib berkata, “Wahai anakku, kamu pada hari ini adalah lebih afdal daripadaku. Sesungguhnya aku melihat bahawa urusanmu telah sampai kepada satu peringkat. Kamu akan diuji. Sekiranya kamu diuji, janganlah kamu menceritakan tentang aku.” Ghulam tersebut mempunyai kebolehan untuk mengubati penyakit buta sejak lahir, sopak dan dia juga mengubati berbagai lagi penyakit.
Seorang pembesar diraja yang sentiasa bersama raja telah mendengar kisah kebolehan ghulam. Beliau adalah seorang buta. Lalu beliau mendatanginya dengan membawa hadiah yang banyak. Beliau berkata; “Semua yang aku kumpulkan ini adalah untuk kamu sekiranya kamu dapat menyembuhkan aku.” Ghulam menjawab; “Aku tidak boleh menyembuhkan seseorang pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah. Apabila kamu beriman kepada-Nya, aku akan berdoa kepada-Nya, maka Dia akan menyembuhkan kamu.” Lalu beliau beriman, maka Allah menyembuhkan penyakitnya. Kemudian beliau mendatangi majlis raja. Beliau duduk di sisi raja sebagaimana sebelumnya. Raja berkata kepadanya; “wahai Fulan, siapakah yang telah mengembalikan penglihatanmu?” Beliau menjawab; “Tuhanku.” Raja bertanya lagi; “Apakah kamu mempunyai tuhan selainku.” Beliau menjawab; “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Beliau terus menerus diseksa sehinggalah beliau menceritakan tentang ghulam. Maka ghulam pun dibawa menghadap. Raja berkata kepadanya; “Wahai anakku, sesungguhnya sihir kamu telah sampai peringkat dapat menyembuhkan penyakit buta, sopak dan berbagai lagi yang kamu lakukan.” Ghulam menjawab; “Aku tidak boleh menyembuhkan sesiapa pun. Yang menyembuhkan hanyalah Allah.” Maka dia pun diseksa. Dia terus menerus diseksa sehinggalah dia menceritakan tentang rahib. Maka rahib dipanggil lalu dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Rahib enggan berbuat demikian lalu dibawa gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua.
Kemudian dibawa pembesar diraja dan dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya sehinggalah tubuhnya terbelah dua. Selepas itu ghulam dibawa dan dikatakan kepadanya; “Tinggalkan agamamu.” Dia enggan lalu dia diserahkan kepada sekumpulan tentera raja. Raja berkata; “pergilah kamu semua membawanya ke bukit sekian-sekian. Dakilah ia. Apabila kamu sampai ke kemuncaknya, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak, maka campakkanlah dia. Mereka pergi membawanya dan mendaki bukit tersebut. Ghulam pun berdoa; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Lalu bukit bergoncang dan mereka semua jatuh. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; “apakah yang telah dilakukan oleh kawankawan kamu?” ghulam pun menjawab; “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.” Lalu dia dihantar kepada sekumpulan tentera yang lain. Raja berkata; “pergilah kamu semua membawanya ke sampan. Bawalah dia ke tengah lautan, jika dia meninggalkan agamanya (maka jangan apa-apakan dia), jika tidak,campakkan dia ke laut. Maka mereka pergi membawa ghulam lalu dia berdoa; ; “Ya Allah, selamatkanlah aku dengan apa cara yang Kamu sukai.” Maka sampan pun terbalik dan mereka semua tenggelam. Ghulam pun pulang untuk menemui raja. Raja berkata kepadanya; “apakah yang dilakukan oleh kawankawan kamu?” dia menjawab; “Allah telah menyelamatkan aku daripada mereka.”
Kemudian dia berkata kepada raja; “Sesungguhnya kamu tidak boleh membunuh aku sehingga kamu melakukan apa yang aku suruh.” Raja berkata; “Apakah dia?” ghulam menjawab; “Kamu kumpulkan orang ramai di suatu kawasan
lapang dan kamu salibkan aku pada sebatang pokok. Kemudian kamu ambil anak panahku daripada bekasnya, dan letakkan pada busarnya. Selepas itu sebutlah “Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,” dan panahlah aku. Sekiranya kamu melakukan sedemikian, kamu boleh membunuhku.” Maka raja pun mengumpulkan orang ramai di suatu kawasan lapang, menyalibnya pada sebatang pokok, kemudian mengambil anak panah kepunyaan ghulam daripada bekasnya dan meletakkan pada busarnya. Selepas itu raja berkata; “Dengan Nama Allah, Tuhan ghulam,” sambil melepaskan anak panah menuju sasarannya. Anak panah tersebut kena pada bahagian di antara mata dan telinga ghulam lalu dia meletakkan tangannya pada tempat panahan dan meninggal. Orang ramai pun berkata; “Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam. Kami beriman dengan Tuhan ghulam.” Maka raja pun datang dan dikatakan kepadanya; “Apakah tuanku tidak melihat apa yang tuanku takuti. Sesungguhnya, Demi Allah! Ia telah menimpa tuanku. Orang ramai telah semuanya beriman.” Lalu raja memerintahkan supaya digali parit dan dinyalakan api. Raja berkata; “Sesiapa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.” Mereka pun melaksanakan perintahnya sehingga datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata; “Wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.”
Sahih Imam Muslim.

Firman Allah;
“Telah dibinasakan orang-orang yang membuat parit. (Parit) api yang dipenuhi bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Dan mereka menyaksikan apa yang mereka lakukan terhadap orang-orang yang beriman. Dan mereka tidak menyiksa orang-orang mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha terpuji.”
(Al-Burujj : 4-8)
(Jzkllh Kak Rahmah,Kak Hasanah dan suma akhawat Korea)

No comments: